Wednesday, December 17, 2008
Cip terpantas dunia
Pemproses Intel Core i7 mampu mencetus revolusi dalam teknologi pengkomputeran.
Dunia pengkomputeran memacu lebih laju pada pertengahan November lalu apabila cip yang dikatakan terpantas di muka bumi mula dilancarkan di seluruh dunia. Kelajuan cip pemproses itu didakwa sesuatu yang belum pernah dicapai oleh teknologi komputer meja sebelum ini.
Dilancarkan secara rasmi pada 17 November di Amerika Syarikat (AS), Taiwan turut diberi penghormatan untuk menjadi lokasi pelancaran susulan pada keesokan harinya. Ini kerana sokongan syarikat-syarikat papan induknya dalam merealisasikan rekaan cip Core i7. Malaysia juga tidak ketinggalan apabila cip komputer meja itu dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Digelar dalam industri pengkomputeran sebagai 'kekaguman teknikal' dan diuar-uarkan pengeluarnya, Intel Corporation (Intel) sebagai 'pemproses terpantas di planet', Core i7 memegang rekod dunia terbaru ujian penanda aras yang mengukur prestasi komputer, SPECint_base_rate2006 dengan 117 markah. Ini adalah kali pertama sebuah pemproses berjaya mendapat markah melebihi 100.
Ia mampu mencetus revolusi baru dalam kepantasan dan kelajuan pada komputer meja.
Pemproses Intel Core i7 merupakan siri pertama dalam keluarga baru pemproses rekaan Nehalem dan tercanggih pernah dihasilkan setakat ini. Ia adalah teknologi baru yang meningkatkan prestasi serta memaksimumkan pemprosesan data.
"Intel Core i7 pada masa ini juga memegang rekod dunia dalam penanda aras Super Pi, 3DMark dan PCMark," kata Pengarah Pemasaran Pemproses Mikro Intel, Zane Ball ketika majlis pelancaran cip itu di Taiwan baru-baru ini.
| |
| INTEL telah menampilkan pemproses komputer meja terpantas untuk pengguna komputer peribadi menonton video, permainan dan muzik di komputer mereka. |
Pemproses Core i7 mempunyai keupayaan 40 peratus lebih laju berbanding cip-cip komputer meja keluaran Intel sebelum ini. Dengan itu, ia menambahkan kelajuan penyuntingan video, permainan komputer dan aktiviti-aktiviti popular komputer dan Internet sehingga kadar berkenaan, tanpa meningkatkan penggunaan tenaga.
"Intel telah menampilkan pemproses komputer meja terpantas di bumi kepada pengguna-pengguna di planet ini, iaitu mereka yang menggunakan komputer peribadi mereka untuk tontonan video, permainan dan muzik," kata Pengurus Jualan dan Pemasaran, Intel Malaysia, Ryaz Patel ketika majlis pelancaran cip ini di Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Apabila anda menggabungkan rekaan cip dengan lonjakan terbesar ini bersama inovasi-inovasi hebat yang lain, Core i7 seakan telah mendefinisikan semula komputer pada masa akan datang," tambahnya.
Teknologi unik Turbo Boost Technology mempertingkatkan prestasi untuk dipadankan dengan keperluan pengguna komputer dan bebanan kerja. Menerusi unit kawal kuasa on-die yang sofistikated dan penggunaan transistor power gate terbaru yang berasaskan kepada 45 nanometer, Turbo Boost secara automatik akan menyelaraskan kelajuan jam pada satu atau lebih daripada empat teras pemprosesan. Ia tidak meningkatkan penggunaan tenaga sama ada ketika aplikasi tunggal atau pelbagai.
| |
| PENGARAH Pemasaran Pemprosesmikro, Zane Ball pada majlis memperkenalkan cip i7 di Taipei, baru-baru ini. |
Pemproses Core i7 juga dilengkapi dengan teknologi terbaru penjimatan tenaga Intel, yang membolehkan komputer meja untuk ditidurkan. Sebelum ini ia hanya boleh dilakukan pada komputer riba berasaskan Intel.
Pemproses Core i7 juga memiliki lebih dua kali ganda memori platform Extreme Intel terdahulu. Dengan teknologi Intel Quickpath, ia melajukan bit dan bait dalam proses pemindahan data.
Direka dengan teknologi Hyper-Threading Technology, pemproses ini juga membenarkan banyak laman komputer dioperasikan secara serentak. Dalam kata lain, ia melancarkan pekerjaan dua kerja dalam satu masa. Hasilnya, Core i7 menampilkan prestasi 8-threaded.
Intel Core i7 juga menawarkan prestasi mengagumkan untuk permainan game 3D dengan 40 peratus lebih laju berbanding pemproses berprestasi tinggi Intel sama ada ujian fizik dan kepintaran tiruan 3DMark Vantage CPU. Ia sekali gus menjadikan pengalaman permainan video lebih menyeronokkan dengan aksi permainan yang seakan dunia sebenar.
Laman-laman web teknologi juga memberikan reviu yang positif mengenai pemproses ini. Anandtech menyatakan Core i7 meneruskan kemaraan prestasi Intel. PC Perspective pula berkata Core i7 adalah 'segala yang dijanjikan.'
Tech Report pula menggelarnya sebagai salah satu daripada produk yang paling menganjakkan industri.
| |
| PENGALAMAN bermain video lebih menyeronokkan dengan aksi permainan yang seakan dunia sebenar dengan cip i7. |
Core i7 merupakan ahli pertama dalam keluarga kejuruteraan mikro Intel Nehalem iaitu versi pelayan dan produk mudah alih yang akan dihasilkan kelak.
Setiap pemproses Core i7 memiliki 8MB tahap 3 cache serta tiga saluran memori DDR3 1066 untuk menyajikan prestasi memori yang hebat pada mana-mana platform komputer meja.
Pemproses berprestasi terhebat keluaran Intel, Intel Core i7 Extreme Edition juga mengalih pencegah kelajuan melebihi had, sekali gus membolehkan pelanggan mereka yang arif tentang komputer atau menjadikannya sebagai hobi untuk meningkatkan kelajuan cip.
Pemproses Intel Core i7 dan set cip Intel X58 Express berasaskan Intel Desktop Board DX58S0 Extreme Series dijual daripada pengusaha-pengusaha komputer dalam talian dan kedai-kedai.
Rangkaian pemproses Intel Core i7 yang terdiri daripada Intel Core i7-965 Extreme Edition, Intel Core i7- 940, Intel Core i7- 920 ini masing-masing dijual pada harga RM3,626, RM2,040 dan RM1,025.
Gajet idaman 2009
Apakah gajet-gajet yang dinantikan pada tahun 2009?
TAHUN 2008 semakin tiba ke penghujungnya. Bagi peminat teknologi khususnya mereka yang gemar mengumpul gajet, kehadiran tahun baru tidak berapa lama lagi tentunya memberikan harapan buat mereka untuk melihat gajet digital terkini. Berikut disenaraikan gajet yang dinanti pada tahun 2009:
* Basikal hibrid Schwinn
Pengeluar basikal lebih 100 tahun, Schwinn memperkenalkan basikal mesra alam yang menggunakan teknologi elektrik hibrid. Apa yang uniknya, sistem kuasa elektrik basikal ini boleh dimatikan bila-bila masa dan basikal ini akan berfungsi seperti basikal tradisional. Apabila suis bekalan kuasa diaktifkan, motor elektrik berkuasa tingginya akan memberikan anda satu pengalaman berbeza sementara bekalan kuasa dijana oleh bateri litium-ion berkuasa tinggi yang dibangunkan oleh Toshiba.
* Android
Sistem operasi untuk telefon bimbit ini akan melebarkan sayapnya apabila Motorola mengikuti jejak langkah T-Mobile untuk melengkapkan telefon bimbit mereka dengan Android. Sistem operasi yang dipelopori oleh Google ini akan membolehkan pelbagai aplikasi web digunakan terus dari telefon. Aplikasi rangkaian sosial kegilaan remaja seperti Facebook dan MySpace merupakan antara aplikasi yang membenarkan pengguna mengakses secara terus dari telefon bimbit mereka.
* Cakera keras Lenovo ThinkPad
Anda seorang yang banyak menghabiskan waktu kerja di luar pejabat tetapi memerlukan storan yang mampu melindungi data penting syarikat? Cakera keras mudah alih ini membolehkan anda membawa data ke mana sahaja dengan hati yang lapang kerana data anda dilindungi dengan enkripsi 128-bit dan kata laluan. Cakera keras SATA bersaiz 2.5-inci ini mampu menyerap hentakan dan berkapisiti sehingga 320GB.
* Pengesan A-GPS Zoombak Universal
Ibu bapa atau isteri yang ingin mengetahui ke mana anak atau suami mereka sering pergi, pastinya tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan gajet ini. Pengesan Zoombak Universal A-GPS akan memberitahu anda apabila ia memasuki persempadanan tertentu. Untuk mengetahui kedudukan subjek, anda hanya perlu menyembunyikan gajet ini di dalam kereta yang disasarkan. Pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pemiliknya apabila ia memasuki atau meninggalkan sesuatu kawasan.
* HP Photosmart C6388
Pencetak keluaran HP ini merupakan pencetak tiga dalam satu yang pertama yang dilengkapkan dengan ciri wayarles. Pengguna di pejabat mahupun di rumah yang mempunyai rangkaian tanpa wayar atau WiFi akan boleh terus melakukan cetakan secara wayarles. Model pencetak lain yang turut dilengkapi dengan keupayaan ini ialah C4580 dan C5380, kesemuanya merupakan pencetak pelbagai fungsi (cetak, salin dan faks). Selain menggunakan sambungan 802.11, ia juga mempunyai pilihan Bluetooth. Melalui sambungan Bluetooth, pengguna boleh mencetak terus dari telefon bimbit mereka.
* Garmin Nuvifone
Nuvifone bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah diuar-uarkan sejak lebih setahun yang lalu, namun pelancarannya telah ditangguhkan ke tahun hadapan oleh pengeluarnya, Garmin. Telefon yang banyak dipengaruhi oleh peranti pandu arah GPS ini dilengkapi dengan skrin berukuran 3.5-inci.
Telefon pintar ini juga dilengkapi dengan pelayar Internet, sokongan capaian HSDPA dan integrasi peta dan GPS. Nuvifone dijangka menjadi gajet 'panas' selepas iPhone yang menjadi dambaan ramai.
* Bingkai gambar Internet
Jika sebelum ini bingkai foto digital telah memasuki pasaran, kini bingkai gambar berinternet pula diperkenalkan. Diberikan nama InTouch, bingkai foto digital ini turut dilengkapi dengan capaian Internet menjadikannya peranti akses Internet dan bingkai foto/video beraudio.
Gajet ini didatangkan dengan skrin sesentuh berukuran tujuh inci jenis LCD TFT dengan resolusi 800 x 400. Ia turut dilengkapkan dengan ingatan binaan dalam 128MB dan juga menyokong storan tambahan seperti SD, CF, MMC dan banyak lagi. Melalui bingkai ajaib ini, pengguna boleh mengakses album foto digital mereka di laman seperti Flickr dan Picasa secara terus sekali gus membuat suntingan hanya melalui bingkai tanpa memerlukan komputer.
Sunday, December 7, 2008
Band hujan makin naik saham
Maklumat nih aku perolehi dari kosmo.Waratawan mengatakan yang sebuah syarikat disana(indon)berminat dengan lagu2 mereka dan berminat untuk mengedarkannya dinegara mereka.Bagi aku,ini lah dinamakan tuah yang hujan dapat hasil kreativiti lagu mereka sendiri.Memang boleh blah pun kalau lagu mereka masuk pasaran indon sebabnya mula2 aku dengar lagu dia org,aku ingat kan band indon yang nyanyikan..rupanya member aku cakap band melaysia.Dah la mereka hari tu dapat tajaan buat show kt uk,nih masuk pasaran indo pulak..pas nih mana la plak yer...Support local band!!.Gig2 jugak..sembahyang jgn tinggal!!